"Kami masih lagi suami isteri dan bahagia seperti dulu." Demikian tegas pengasas produk kecantikan Jenama Qu Puteh, Datuk Seri Hasmiza Othman ketika diminta mengulas mengenai isu rumah tangganya yang didakwa sedang bergolak.
Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata suaminya, Fairuz Ahmad Zainuddin tidak selalu berada di sampingnya kerana terlalu sibuk dengan tugas sebagai ejen insurans.
"Orang kata suami saya perlu 'berehat di rumah' selepas berkahwin dengan saya tetapi dia bukannya jenis lelaki yang suka menumpang kesenangan hasil perkahwinan kami.
"Walaupun kami sudah berkahwin, dia masih setia dan menyambung dengan kerjaya yang diceburinya sejak 10 tahun lalu. Saya pun tidak halang dia. Kadang kala dia akan jumpa pelanggan (Prospek) kalau saya ada program di Kuala Lumpur," kata Vida dalam satu temubual bersama mStar Online.
Vida yang juga amat aktif berkongsi rutin harian dengan pengikutnya di laman media sosial, Instagram (IG) menegaskan suaminya itu tidak suka bersikap 'interframe' dalam video atau gambar yang dimuat naik.
"Baru-baru ini kami sekeluarga bercuti bersama rakan-rakan di Royal Belum Resort, suami saya ada sekali. Kami ada bergambar bersama cuma dia jarang ada dalam video yang saya rakam untuk dikongsi bersama peminat.
"Kalau saya ajak bergambar, dia amat sporting tapi dia tak adalah nak sentiasa ada dalam gambar atau video yang saya ambil. Jika kebetulan saya rakam video suami ada pada waktu itu, dia pun akan beri kerjasama. Suami saya memang tahu saya suka selfie dan rakam video untuk tatapan peminat," ujarnya lagi
0 comments:
Post a Comment